SUFI HARAKI
this site the web

Dr Burhanuddin The Story


Ayahanda saya adalah seorang sufi dan bertariqat Naqsyabandi serta dengan lurus dan waraknya. Maka saya pun dari kecil dilatihnya secara waraknya dan mesti kuat beribadat mengikut-ngikut dia sembahyang berjemaah, membaca Quran dan berzanji, ahzab dan zikir. Sebagai orang muda tiadalah saya tahu apa-apa. Saya ikut-ikut itu kerana malu dan segan jua. Saya lakukan dengan berat kerana kawan-kawan lain dapat lepas dan bermain-main, saya tidak.

Bila saya dapat belajar keluar negara, di Indonesia dapat saya belajar bahasa Belanda dan guru-guru agama saya pula ulama-ulama kaum muda dan berfaham progresif dalam Islam. Maka fikiran saya terbentuk dengan membaca keterangan­-keterangan moden dan majalah-majalah moden seperti : al-Manar dan al-Fath . Saya pelajari ilmu-ilmu Usul Feqh, Usul Ahkam, Mazahib al-Arba' ah, dan membaca kitab­ kitab Bidayatul Mujtahid, Subulus Salam, kitab-kitab Ibnu

Taimiah, Ibnu Qayyim, al-Syaukani, Abdul Wahab al-Wahabi, al-Saiyid Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh, Rasyid Redha dan akhimya Thantawi. Saya pun terbalik bertentang dengan ayah saya dalam pendirian. Saya memusuhi jumud kolot. Pada saya tasawwuf dan tariqatnya itu suatu ajaran mematikan semangat dan campur aduk dengan bid`ah. Pada saya kitab tasawwuf seperti karangan Imam Ghazali itu saya pandang seperti madu bercampur racun, kerana saya pandang dari segi perbahasan feqh, tafsir dan hadith tidak kuat menurut kaedah rawi dan sebagainya. Ini berlaku di antara tahun 1927 hingga tahun 1940. Pendeknya ilmu tasawwuf saya ketepikan. Jiwa saya tidak mahu langsung kepadanya, apa lagi sebagai seorang wartawan muda pada tahun 1937 saya keluarkan majalah (Taman Bahagia) lalu tertangkap kerana saya didapati oleh penjajah berpolitik tegas dan berbahaya kepada penjajah dan akan membangkitkan kesedaran rakyat, hinggalah sekarang perkataan Malaya jadi Palestin Kedua) masih kedengaran diperkatakan orang.



Masa saya di Indonesia saya dapat mempelajari bahasa Inggeris dan Perancis, dan dalam mempelajari ilmu kedoktoran homeopati asas bahasa Belanda memudahkan saya mempelajari bahasa Jerman. Kemudian masuklah saya ke dalam perguruan psikologi-metafizik, ilmu rohani juga falsafah dan perbezaan-perbezaan agama besar di dunia ini. Apabila menyusun-nyusun tesis untuk kedoktoran filosofi (Ph.D) maka terpaksalah saya berfikir mendalam mengambil di mana titik berat, intisari dan pati punca perbezaan dan perbalahan. Maka termasuklah

membahaskan berkenaan dengan sufi itu yang termasuk dalam falsafah. Saya pelajari sufi dari bahasa-bahasa Eropah.'' Terpaksalah balik saya mengenal al-Ghazali, al-Badawi, al-Rifa'i, al-Rumi, al-Qusyairi, Ibnu `Ato' dan lain-lain serta merujuk kitab­kitab Eropah itu kepada kitab-kitab Arab maka barulah saya'' kembali mencari kitab-kitab arabnya pula.

Kemudian setelah saya siasati kedatangan Islam ke nusantara kita ini dan datuk nenek kita memeluk agama Islam'' yang Hanif ini terutamanya dan kesan-kesannya ialah daripada'' ulama Syi'ah dan ulama tasawwuf. Para ulama itu datang secara saudagar atau secara mubaligh; bukan masuk melalui ulama­ ulama feqh. Islam masuk di nusantara kita ini berkembang tidak'' dengan kekerasan atau paksa tetapi dengan kemahuan hati dan pilihan jiwa yang dapat mengatasi pelajaran agama Hindu dan' Buddha bagaimana yang diperjuangkan oleh Wali Songo di Jawa dan lain-lain kepulauan, maka beransur-ansur nampaklah saya'' kesenian ilmu tasawwuf".

Hebatlah sungguh perlawanan di dalam diri saya sendiri pertentangan-pertentangan yang saya katakan dahulu itu, tasawwuf kolot dan jumud dengan Islam progresif dan saintifik.'

Bila kita halusi intisari ilmu metafizik dan pengertian ilmu ''mithal" yang diterangkan oleh ulama-ulama tasawwuf dipandang dari segi perbahasan ilmiah hari ini nampaklah kita di mana seni kebenaran ilmu tasawwuf dan tariqat-tariqatnya.

Membuangkan Antah Ambil Beras

Sudah cukup banyak penentangan-penentangan dan lawan-lawan tasawwuf dan tariqat-tariqatnya dari kurun ke-4 hingga kurun ke-13. Jika adalah lawan-lawan dan tentangan­tentangan yang baru semuanya adalah mengikut hujah dan cara aliran fikiran dan pendapat ulama-ulama yang dahulu-dahulu itulah jua. Semuanya sudah kita dapati tertulis dalam kitab-kitab yang muktabar yang boleh kita dapati sekarang. Saya rasa tiadalah gunanya kita ungkit-ungkit dan bongkar-bongkar lagi hanya mengulang-ngulang bahas dan jadal yang sudah pun masak dibahaskan oleh ulama yang dahulu. Apa yang balik kita bahaskan tasawwuf itu dari segi ilmu moden pula kerana tiada dapat kita nafikan bahawa tasawwuf dan tariqat-tariqatnya sudah menjadi ilmu Islam seperti adanya mazhab-mazhab dalam Islam.

Kesedaran yang perlu ialah perbezaan pendapat mazhab-mazhab terhadap tariqat Sufiah itu kita buangkan. Segala keraguan-keraguan dan syubhatnya kita bawakan kepada seterang-seterang kehendak isi hikmah ajaran al-Quran dan al-Sunnah al-Nabawiyah. Hal ini menguntungkan kita dan masyarakat, sebagaimana orang-orang Eropah telah mempelajari ilmu-ilmu keduniaan daripada tamadun Islam dahulu seperti ilmu Kedoktoran, Falak, Algebra, Kimia sehingga mereka maju pada masa ini. Sekarang pun mereka mempelajari sedalam-­dalamnya ilmu metafizik mistik- alam mithal dan rahsia ilmu tasawwuf.

petikan dari:

Persidangan Pembukaan Kongres Ahli-ahli Tariqat As-Sufiah

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

 2 Oktober 1960


0 comments:

Post a Comment

 

sufiharaki

Mengajak anda dalam lebih teliti dan halus dalam aspek beragama dan menyampaikan masej dakwah ilAllah, kerana sesungguhnya Islam tidak akan dapat mencapai kegemilangannya kembali melainkan dengan cara ia mencapai kegemilangannya pada masa lalu iaitu dengan benar-benar menuruti sunnah baginda Rasul s.a.w

Usage Policies