SUFI HARAKI
this site the web

visi

image
image
image
image
Showing posts with label sirah. Show all posts
Showing posts with label sirah. Show all posts

Dr Burhanuddin The Story


Ayahanda saya adalah seorang sufi dan bertariqat Naqsyabandi serta dengan lurus dan waraknya. Maka saya pun dari kecil dilatihnya secara waraknya dan mesti kuat beribadat mengikut-ngikut dia sembahyang berjemaah, membaca Quran dan berzanji, ahzab dan zikir. Sebagai orang muda tiadalah saya tahu apa-apa. Saya ikut-ikut itu kerana malu dan segan jua. Saya lakukan dengan berat kerana kawan-kawan lain dapat lepas dan bermain-main, saya tidak.

Bila saya dapat belajar keluar negara, di Indonesia dapat saya belajar bahasa Belanda dan guru-guru agama saya pula ulama-ulama kaum muda dan berfaham progresif dalam Islam. Maka fikiran saya terbentuk dengan membaca keterangan­-keterangan moden dan majalah-majalah moden seperti : al-Manar dan al-Fath . Saya pelajari ilmu-ilmu Usul Feqh, Usul Ahkam, Mazahib al-Arba' ah, dan membaca kitab­ kitab Bidayatul Mujtahid, Subulus Salam, kitab-kitab Ibnu

Taimiah, Ibnu Qayyim, al-Syaukani, Abdul Wahab al-Wahabi, al-Saiyid Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh, Rasyid Redha dan akhimya Thantawi. Saya pun terbalik bertentang dengan ayah saya dalam pendirian. Saya memusuhi jumud kolot. Pada saya tasawwuf dan tariqatnya itu suatu ajaran mematikan semangat dan campur aduk dengan bid`ah. Pada saya kitab tasawwuf seperti karangan Imam Ghazali itu saya pandang seperti madu bercampur racun, kerana saya pandang dari segi perbahasan feqh, tafsir dan hadith tidak kuat menurut kaedah rawi dan sebagainya. Ini berlaku di antara tahun 1927 hingga tahun 1940. Pendeknya ilmu tasawwuf saya ketepikan. Jiwa saya tidak mahu langsung kepadanya, apa lagi sebagai seorang wartawan muda pada tahun 1937 saya keluarkan majalah (Taman Bahagia) lalu tertangkap kerana saya didapati oleh penjajah berpolitik tegas dan berbahaya kepada penjajah dan akan membangkitkan kesedaran rakyat, hinggalah sekarang perkataan Malaya jadi Palestin Kedua) masih kedengaran diperkatakan orang.



Masa saya di Indonesia saya dapat mempelajari bahasa Inggeris dan Perancis, dan dalam mempelajari ilmu kedoktoran homeopati asas bahasa Belanda memudahkan saya mempelajari bahasa Jerman. Kemudian masuklah saya ke dalam perguruan psikologi-metafizik, ilmu rohani juga falsafah dan perbezaan-perbezaan agama besar di dunia ini. Apabila menyusun-nyusun tesis untuk kedoktoran filosofi (Ph.D) maka terpaksalah saya berfikir mendalam mengambil di mana titik berat, intisari dan pati punca perbezaan dan perbalahan. Maka termasuklah

membahaskan berkenaan dengan sufi itu yang termasuk dalam falsafah. Saya pelajari sufi dari bahasa-bahasa Eropah.'' Terpaksalah balik saya mengenal al-Ghazali, al-Badawi, al-Rifa'i, al-Rumi, al-Qusyairi, Ibnu `Ato' dan lain-lain serta merujuk kitab­kitab Eropah itu kepada kitab-kitab Arab maka barulah saya'' kembali mencari kitab-kitab arabnya pula.

Kemudian setelah saya siasati kedatangan Islam ke nusantara kita ini dan datuk nenek kita memeluk agama Islam'' yang Hanif ini terutamanya dan kesan-kesannya ialah daripada'' ulama Syi'ah dan ulama tasawwuf. Para ulama itu datang secara saudagar atau secara mubaligh; bukan masuk melalui ulama­ ulama feqh. Islam masuk di nusantara kita ini berkembang tidak'' dengan kekerasan atau paksa tetapi dengan kemahuan hati dan pilihan jiwa yang dapat mengatasi pelajaran agama Hindu dan' Buddha bagaimana yang diperjuangkan oleh Wali Songo di Jawa dan lain-lain kepulauan, maka beransur-ansur nampaklah saya'' kesenian ilmu tasawwuf".

Hebatlah sungguh perlawanan di dalam diri saya sendiri pertentangan-pertentangan yang saya katakan dahulu itu, tasawwuf kolot dan jumud dengan Islam progresif dan saintifik.'

Bila kita halusi intisari ilmu metafizik dan pengertian ilmu ''mithal" yang diterangkan oleh ulama-ulama tasawwuf dipandang dari segi perbahasan ilmiah hari ini nampaklah kita di mana seni kebenaran ilmu tasawwuf dan tariqat-tariqatnya.

Membuangkan Antah Ambil Beras

Sudah cukup banyak penentangan-penentangan dan lawan-lawan tasawwuf dan tariqat-tariqatnya dari kurun ke-4 hingga kurun ke-13. Jika adalah lawan-lawan dan tentangan­tentangan yang baru semuanya adalah mengikut hujah dan cara aliran fikiran dan pendapat ulama-ulama yang dahulu-dahulu itulah jua. Semuanya sudah kita dapati tertulis dalam kitab-kitab yang muktabar yang boleh kita dapati sekarang. Saya rasa tiadalah gunanya kita ungkit-ungkit dan bongkar-bongkar lagi hanya mengulang-ngulang bahas dan jadal yang sudah pun masak dibahaskan oleh ulama yang dahulu. Apa yang balik kita bahaskan tasawwuf itu dari segi ilmu moden pula kerana tiada dapat kita nafikan bahawa tasawwuf dan tariqat-tariqatnya sudah menjadi ilmu Islam seperti adanya mazhab-mazhab dalam Islam.

Kesedaran yang perlu ialah perbezaan pendapat mazhab-mazhab terhadap tariqat Sufiah itu kita buangkan. Segala keraguan-keraguan dan syubhatnya kita bawakan kepada seterang-seterang kehendak isi hikmah ajaran al-Quran dan al-Sunnah al-Nabawiyah. Hal ini menguntungkan kita dan masyarakat, sebagaimana orang-orang Eropah telah mempelajari ilmu-ilmu keduniaan daripada tamadun Islam dahulu seperti ilmu Kedoktoran, Falak, Algebra, Kimia sehingga mereka maju pada masa ini. Sekarang pun mereka mempelajari sedalam-­dalamnya ilmu metafizik mistik- alam mithal dan rahsia ilmu tasawwuf.

petikan dari:

Persidangan Pembukaan Kongres Ahli-ahli Tariqat As-Sufiah

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

 2 Oktober 1960


Riwayat Hassan Al-Basri

Hassan bin Abil Hassan al-Basri lahir di kota Madinah pada tahun 21H/642M. Ia adalah putera dari seorang hamba yang ditangkap di Maisan, kemudian menjadi penolong kepada pembantu Nabi Muhammad, Zaid bin Tsabit. Kerana dibesarkan di basrah ia selalu bertemu dengan ramai sahabat Nabi, antara lain – yang dikatakan orang – dengan tujuh puluh sahabat yang turut dalam Perang Badar. Hasan terkemuka pada zamannya, dan ia termasyur kerana kesolehannya yang teguh, dan secara terbuka ia membenci sikap kalangan atasan yang suka berfoya-foya.
Sementarapembesar-pembesar dari kalangan Muktazilah memandang Hasan sebagai pendiri gerakan mereka( ‘Amr bin ‘Ubaid dan Wasil bin Atha’ Termasuk sebagai muridnya). Didalam hagiografi sufi, ia dimuliakan sebagai salah seorang di antara tokoh-tokoh suci yang terbesar pada masa awal sejarah islam. Hasan meninggal dunia di kota Basrah pada tahun 110H/ penceramah yang hebat- dan ucapan-ucapannya diambil oleh penulis-penulis bangsa Arab dan banyak surat-suratnya yang masih dapat kita saksikan hingga sekarang.



Hasan dari Basrah bertaubat



Pada mulanya Hasan dari Basrah adalah seorang penjual batu permata, kerana itu ia digelar sebagai hasan si pedagang mutiara. Hasan mempunyai hubungan perdagangan dengan Bizantium, kerana itu ia berhubung rapat dengan para jeneral dan menteri Kaisar. Dalam sebuah peristiwa ketika pergi ke Bizantium, Hasan mengunjungi perdana menteri dan mereka berbincang beberapa saat.

“ Jika engkau suka, kita akan pergi ke suatu tempat,” menteri itu mengajak Hasan.

“Terpulang kepadamu,” jawab Hasan. “Ke mana pun aku ikut sahaja.”



Menteri itu memerintahkan agar disediakan seekor kuda untuk Hasan. Menteri naik ke belakang kudanya, Hasan pun melakukan hal yang serupa, setelah itu mereka berangkat menuju padang pasir. Sesampainya di tempat yang dituju, Hasan melihat sebuah khemah yang dibuat dari brokat Bizantium, diikat dengan tali sutera dan dipancang dengan tiang emas di atas tanah, Hasan berdiri jauh darinya.

Tidak berapa lama kemudian muncul sepasukan tentera yang cukup dengan kelengkapan perang. Mereka lalu mengelilingi khemah itu, mengucapkan beberapa patah perkataan kemudian pergi. Setelah itu muncul pula ahli falsafah dan cerdik pandai yang hamper empat ratus orang jumlahya. Mereka mengelilingi khemah itu dan mengucapkan beberapa patah perkataan kemudian meninggalkannya. Hassan merasa sangat hairan menyaksikan kejadian-kejadian itu dan bertanya kepada dirinya sendiri, apakah ertinya semua itu?

Hasan bertanya kepada perdana menteri. Menteri itu menjawab bahawa dahulu Kaisar mempunyai seorang putera yang tampan menguasai berbagai cabang ilmu pengetahuan dan tidak seorang pun dapat menandinginya. Kaisar sangat saying kepada puteranya itu. Tanpa diduga-duga, puteranya jatuh sakit. Semua tabib walau bagaimanapun mahir sekali tidak mampu menyembuhkan penyakitnya di bawah khemah tersebut. Setiap tahun orang ramai dating menziarahi kuburnya.”

Sepasukan tentera yang mula-mula mengelilingi khemah tersebut berkata: “ Wahai putera mahkota, seandainya malapetaka yang menimpa dirimu ini terjadi di medan pertempuran, kami semua akan mengorbankan jiwa raga kami untuk menyelamatkanmu. Tetapi malapetaka yang menimpa mu ini dating dari Dia yang tidak sanggup kami perangi dan tidak dapat kami tentangi.” Setelah itu mereka pun berlalu dari tempat itu.

Kemudian tibalah giliran ahli falsafah dan cerdik pandai. Mereka berkata: “ Malapetaka yang menimpa dirimu ini dating dari Dia yang tidak dapat kami lawan dengan ilmu pengetahuan, falsafah dan tipu muslihat. Kerana semua falsafah di atas bumi ini tidak berdaya menghadapi-Nya dan semua cerdik pandai hanya seperti orang-orang yang dungu dihadapan –Nya. Jika demikian halnya, kami akan berusaha dengan menajukan dalih-dalih yang tidak dapat dibantah oleh sesiapa pun di alam semesta ini. “ Setelah berucap, mereka pun pergi.

Tiba giliran orang-orang tua yang mulia: “ Wahai putera mahkota, seandainya malapetaka yang menimpa dirimu ini dapat dicegah oleh campurtangan orang-orang tua, nescaya ami telah mencegahnya dengan doa-doa kami yang rendah hati, maka pastilah kami tidak akan meninggalkan engkau seorang diri di tempat ini. Tetapi malapetaka yang menmpa mu dating dari Dia yang sedikitpun tidak mampu ditentang oleh sesiapapun.” Setelah itu mereka pun berlalu.

Kemudian wanita-wanita cantik dengan bekas-bekas berisi emas dan batu permata mengelilingi khemah itu dan berkata: “Wahai putera Kaisar, seandainya malapetaka yang menimpa dirimu ini boleh ditebus dengan kekayaan dan kecantikan, nescaya kami merelakan diri dan harta kekayaan kami yang banyak ini untuk menebusmu dan tidak kami tinggalkan engkau di tempat ini. Namun malapetaka ini ditimpakan oleh Dia yang tidak dapat dipengaruhi oleh harta kekayaan dan kecantikan.” Selesai ucapan itu , mereka pun beredar.

Akhir sekali Kaisar beserta perdanamenterinya tampil masuk ke dalam khemah itu dan berkata : “Wahai biji mata dan pelita hati ayahanda!Apakah yang dapat dilakukan oleh ayahanda ini? AYahanda telah mendatangkan sepasukan tentera yang perkasa , para ahli falsafah dan cerdik pandai, para penasihat, wanita-wanita yang cantik jelita, harta benda dan berbagai-bagai barang berharga. Dan ayahanda sendiri pun telah dating. Jika semua ini berfaedah, maka ayahanda pasti melakukan segala sesuatu yang dapat ayahanda lakukan. Tetapi malapetaka ini telah menimpa mu oleh Dia yang tidak mampu ditentang oleh apapun.. Semoga engkau mendapat kesejahteraan, selamat tinggal sampai tahun yang mendatang.” Kata-kata ini diucapkan oleh Kaisar kemudian ia berlalu dari tempat itu.

Cerita menteri ini sangat memberi kesan di hati Hasan. Ia tidak dapat melawan dorongan hatinya. Dengan segera ia bersiap-siap untuk kembali ke negerinya. Sesampainya dikota Basrah ia bersumpah tidak akan tertawa lagi di atas dunia ini sebelum mengetahui dengan pasti bagaimana nasib yang akan dihadapinya nanti. Ia melakukan segala macam kebaktian dan disiplin diri yang tidak dapat ditandingi oleh sesiapapun pada masa hidupnya.

Tasauf Rasulullah saw


Tercatat dalam Kitab Ilmu Tahqiq Manhalus Shofi Fi Bayaani Ahli-Ssufi peringatan yang sangat penting bagi mereka yang ingin memasuki dunia Tasauf sebagaimana berikut;


Setengah daripada yang tidak dapat tidak(yakni WAJIB) bagi orang yang murid yang hendak berjalan kepada Allah Subhanahuwa Taala, jalan Ahlullah, iaitu bahawa hendaklah melazimkan diri dengan "Adab Syariat" Nabi kita Muhammad SAW. Yakni dengan memelihara segala perkara yang disuruh dan yang ditegah. Kemudian masuk ia pada "Thoriqat Nabi kita SAW" yakni mengikut akan jalan yang dikerjakan oleh Nabi yang terdiri dari amal atas sekuasa-kuasanya. Tiadalah maqam yang terlebih(afdhal) daripada mengikut Nabi SAW pada perbuatannya, tegahnya, kelakuannya dan perangainya. Tiada dapat sampai kepada Allah melainkan dengan mengikut Nabi kita SAW kerana dialah Ariffin yang mengetahui dengan sesuatu yang menghampirkan dirinya kepada Allah dan kepada redhoNya. Sesungguhnya telah berjalan Ia(Rasulullah SAW) dengan Dia bagi dirinya dengan demikian jalan.

Barangsiapa yang mengikut akan dia(Rasulullah SAW) padanya, maka tiada maqam yang terlebih afdhal daripada maqamnya. Setengah daripadanya dapat kasih Allah Taala seperti firman Allah Taala;

"Katakanlah olehmu ya Muhammad! Jika ada kamu kasih akan Allah, maka ikut oleh kamu sekalian akan daku nescaya dikasih akan kamu oleh Allah Taala"

Wali Qutub Sheikh Abi Madyan r.a ada membuat peringatan ini dalam Kitab Hikamnya;

"Diharamkan mereka itu sampai kepada Allah kerana meninggalkan mengikut"Thoriqat Muhammadiyah" (yakni Sunnah Rasulullah SAW) dan berjalan mereka itu dengan keinginan mereka".

Demikianlah dasar yang menjadi intipati sandaran para pendokong Ilmu Sufiah, tidak sama sekali berenggang jauh dengan petua dan amalan-amalan yang telah dilalui oleh Rasulullah SAW. Sejarah telah membuktikan akan keluhuran dan ketinggian peribadi Rasulullah SAW, para sahabat-sahabat yang keistimewaan dan kekuatan jiwa dan ruh Islam yang hakiki mengalahkan tamadun-tamadun yang sebelum itu, semasa itu dan selepas itu dan "isme-isme" yang ada sekarang ini.

"Dan apa-apa yang telah mendatang ia akan kamu oleh Rasulullah itu maka ambil oleh kamu dan apa-apa yang menegah ia akan kamu, maka berhentilah oleh kamu jangan dikerjakan". (Al-Hasyr: 09)

Tulisan ini adalah sebagai lanjutan dari bicara mengenai Tasuaf dan maksud bertasauf. Di samping itu juga ia adalah merupakan usaha untuk mengheningkan kebingungan golongan yang mendakwa diri mereka pengamal tasauf sedangkan mereka telah tertipu dan terpedaya oleh syaitan laknatullah kerana meremeh-remehkan syariat malah ada yang sampai ke tahap membuang terus kemuliaan syariat ini semata-mata beralasan bila sudah berada dipuncak, segala hukum dan tuntutan syariat tidak boleh dipakai. Mereka bukan sahaja tergelincir dari "jalan yang benar" malah boleh menyebabkan orang awam(kebanyakan orang ramai) akan menjadi keliru dan turut terjebak dalam golongan yang suka saya gelarkan "Tasauf Pinggiranr".

Marilah sama-sama kita perhatikan bagaimana Tasauf membayangi kehidupan Rasulullah.

Mula hidupnya dengan mempelajari rahsia dan hikmah alam dengan bersunyikan diri diri Gua Hira' sehingga menjadi Rasul. Rasulullah sangat kuat bertahajud, beristigfar, berzikir, sembahyang hingga bengkak kakinya kerana lama berdiri Qiyam. Rasulullah menangis kerana takutkan TuhanNya. Rasulullah menunjukkan kepada Abu Hurairah rupa dunia yang kotor ini dengan contoh satu lopak yang bertimbun-timbun bangkai manusia dan binatang dan barang buruk buangan. Semua ini terang dalam hadis yang shohih.

Rasululah mengibaratkan dunia ini tidak pun bernilai timbangannya seberat sayap nyamuk.

Dalam satu hadis Qudsi Allah berfirman; "Aku di sisi orang-orang yang pecah remuk redam hatinya"

Rasulullah tidur di atas tikar yang kasar. Badannya berlarik bekas tikar itu di kedua lambungnya hingga menangis Sayyidina Omar Al-Khattab dengan keadaan Nabi itu.

Asas pembinaan peribadi yang luhur dengan ketaatan yang tinggi terhadap Allah Taala ini telah diwarisi oleh sahabat-sahabat baginda. Tiap-tiap seorang muslim pada zaman Rasulullah jadi Abid dengan hidup cara tasauf dalam kecergasan tabie semulajadi.

Sahabat-sahabat Nabi itu memandang dunia sebagai Rasulullah memandang dunia dengan rendahnya dan bersedia menghadap akhirat semata-mata kerana Allah. Kerana ringan dan murahnya nilai dunia ini, maka mudah sahaja dijijak dan diperhambakan hingga mereka menguasai dunia ini dan dengan dunia yang diperhambakan itu mereka membeli dan berjaya memenangi akhirat. Maka menguasai dunia untuk dijadikan tunggangan ke akhirat. Sekali-kali tidak ada peluang diberikan kepada dunia itu menakluki mereka atau mengatasi mereka. Kerana itu mereka berjaya di dunia dan di akhirat iaitu terus menang dlam jihad mereka.

Abu Bakar, bila beribadat kerana takut kepada Allah hingga bernyawa seperti jantung terbakar. Beliau membaca Al-Qur'an sepanjang malam; termakan makanan syubhat termuntah-muntah. Dalam satu peperangan Abu Bakar menyerahkan semua harta kekayaannya kepada Rasulullah kerana memenuhi seruan jihad. Inilah jiwa tasauf yang terpancar pada Abu Bakar Al-Siddiq.

Omar Ibni Al-Khattab yang menghancurkan Empayar Rum dan Parsi, menguasai timur dan barat yang bertamadun zaman itu penuh dengan kekayaan harta dan perbendaharaan; ia kerap makan tidak berlauk, bajunya bertampal 12 tampal, lambat satu hari ke masjid hingga tertunggu-tunggu jamaah yang hendak beriman akan dia. Bertanya sahabatnya; "Kenapakah lambat ya Amirul Mukminin?" Sahutnya; "Aku membasuh kain(dan tunggu hingga kering) tak ada kain lain". Inilah ruh Tasauf yang menjelma melalui Omar Ibni Al-Khattab.

Sayyidina Ali bin Abi Talib lebih lagi daripada Sayyidina Oma waraknya. Suatu hari dengan penatnya dia keluar mencari upah tetapi tidak berhasil. Bila balik didapatinya tersedia tiga biji tamar. Oleh kerabna sudah sehari suntuk tidak makan, tetapi bila ia hendak menyuap tamar yang ada di rumah itu teringat ia tidak tahu tamar siapa? hingga isterinya Fatimah menerangkan itu memang disimpankan untuknya. Baru ia hendak menyuap, tiba-tiba terdengar oorang memberi salam dan berkata; "Saya orang miskin kelaparan. Kerana Allah ..Ya Ali!!! berilah saya makanan". Tidak jadi ia menyuap makanan itu lalu diberikan kepada si miskin itu.

Bila akan menyuap yang kedua terdengar lagi satu salam dan menyeru; "Ya Ali.... saya anak yatim. Kerana Allah berilah saya makan kerana sangat lapar". Tidak jadi dimakannya tamar yang kedua itu lalu diberikan tamar itu.

Baru hendak menyuap yang ketiga, datang pula seorang lelaki. "Ya Ali...saya seorang yang merana. Kerana Allah berilah saya makan". Tamar yang akhir itu terus diberianya, tinggallah ia dengan kelaparan demi kerana Allah.

Pada hari wafatnya berpuluh-puluh janda meraung menangis hingga gempar dan hairan orang melihatnya. Bila ditanya kepada janda-janda itu?, jawab mereka:

"Tumbanglah harapan kami, putuslah pergantungan kami, kerana selama ini Ali lah yang menanggung dan menyara kehidupan kami" Tegasnya dalam sulit, tiada dengan tahu sesiapa Ali menolong janda-janda itu, Ali miskin kerana kesenangan orang lain. Inilah kemurniaan Tasauf yang bergemilapan pada peribadi Sayyidina Ali bin Abi Talib.

Abu Ubaidah bin Jarah, pahlawan Islam, pembuka dunia baru mengembangkan Islam, jadi Raja(Amir) di Syam negeri yang mewah makmur dengan kekayaan. Manakala Umar melawat Syam dan bila masuk ke istana tiada kelihatan apa-apa benda kecuali sebiji pinggang dan sehelai tikar. Umar pun menangis kerana kasihan dan sedihkan nasib Abu Ubaidah yang menderita dalam negeri yang mewah. Memandangkan hal itu, Abu Ubaidah berkata;

"Ya Amirul Mukminin, adakah tuan menangiskan nasib saya sedangkan saya telah menjaulkan dunia saya untuk membeli akhirat".

Generasi seterusnya terus mewarisi pesaka keluhuran budi dan ketinggian ubudiyah ini dengan
Melazimi dan mengekali wirid harian untuk mendapat Warid,

Imam Ali bin Hussin r.a sembahyang sunat sebanyak 1,000 rekaat sehari semalam.

Aulia Allah Daud Al-Thoni tidak mengunyah makanannya tetapii direndamnya dalam ayer dan menelannya. Apabila ditanya kenapa beliau berbuat begitu, beliau menjawab, untuk menjimatkan masa kerana masa itu saya gunakan membaca al-Qur'an.

Sheikh Junaid Al-Bagdadi menegaskan: " Apa yang aku dapat dalam bidang kerohanian adalah melalui tiga perkara: Pertama - menjauhkan dunia; Kedua - puasa; Ketiga - berjaga sepanjang malam.

Beliau berkata lagi Kesufian itu ialah lari dari dunia menuju Allah dan berada sentiasa dalam ibadat, carilah kesufian itu dalam diri sendiri

Sejarah Wali Allah Abu Hassan al-Khorkhoni mencatatkan selama 30 tahun dia tidak tidur malam.

Mansur bin 'Amar berkata; Kebersihan hati dicapai dengan empat latihan: bercampur dengan Aulia Allah, mengaji al-Qur'an, sembahyang di waktu malam, mengeluarkan air mata pada masa sembahyang.

Imamiyah Tasauf Sheikh Junaid Al-Baghdadi, pada waktu menerangkan tujuan Shufi, mengatakan, "Kami tidak mengambil Tasawwuf ini difikiran dan pendapat orang, tetapi kami ambil dari dari menahan lapar dan menahan kecintaan kepada dunia, meninggalkan kebiasaan kami sehari-hari mengikuti segala yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang dilarang."

Jelasnya dan nyata sekali kini, bahawa Ilmu Tasauf ini bukanlah semata-mata ilmu yang hanya bermain-main dengan kata-kata hakikat atau makrifat yang dijadikan topik perbualan di kedai-kedai kopi dengan meremeh-remeh dan mempersendakan syariat. Ianya adalah sesuatu yang "besar" melebihi jangkaun fikiran. Hayatilah catatan pengalaman Hujjatul Islam Imam Ghazali ini yang tercatat dalam Kitabnya Minhajul 'Abidin sebagai satu rumusan mengenai Tasauf ini

Ketahuilah .....Hal ibadat telah cukup kami fikirkan, telah pula kami teliti jalannya dari awal hingga tujuan akhirnya yang diidam-idamkan oleh para penempuhnya(abid/salik/ilmuan). Ternyata suatu jalan yang amat sukar, banyak tanjakan-tanjakannya(pendakiannya), sangat payah dan jauh perjalanannya, besar bahayanya dan tidak sedikit pula halangannya dan rintangannya, samar di mana tempat celaka dan akan binasa, banyak lawan dan penyamunnya, sedikit teman dan penolongnya.

Bayangan salah satu tempat celaka dan binasa ini boleh diambil iktibar dari kisah Sultanul Aulia Sheikh Abdul Qadir Jailani yang pada satu masa berada di dalam hutan tanpa makanan dan minuman beberapa lama. Tiba-tiba datang awan, lalu turun hujan. Dapatlah Sheikh itu menghilangkan dahaganya. Dengan tdak semena-mena datang satu lembaga yang bersinar tidak jauh dari situ dan lembaga itu berkata, "Aku ini Tuhan kamu. Sekarang ini aku halalkan segala yang haram untuk kamu". Mendengar itu Sheikh Abdul Qadir pun membaca; "A 'uzubillahi minassyathonir rajim". Lembaga itu bertukar jadi awam lalu berkata, "Dengan ilmumu dan rahmat Allah kamu telah terselamat dari tipu helahku" Kemudian syaitan itu bertanya kepada beliau bagaimana dia boleh mengenal syaitan itu dengan segera. Jawab Sheikh Abdul Qadir, bahawa apabila syaitan itu mengatakan yang ia menghalalkan yang haram, maka dengan serta-merta ia tahu bahawa bukan datang dari Allah Taala kerana Allah tidak menghalalkan segala yang haram.

Zikir Menurut Hassan Al-Banna

Dalam Majmu’ Rasail Hasan al Banna di bahagian bertajuk Al Ma’thurat, beliau berkata:

“Saudara yang dihormati, jika anda memahami hakikat ini anda tidak sepatutnya merasa hairan jika seorang muslim sentiasa berzikir mengingati Allah dalam semua keadaan”.

Kata Imam asy-Syahid lagi:

“Nabi saw sendiri berzikir mengingati Allah dalam setiap keadaan.”

Huraian

Hasan al Banna mengakui wujudnya segelintir umat Islam yang sentiasa dalam keadaan berzikir. Pengalamannya ini adalah hasil sesi tarbiyyah sufi Tariqat Hasafiah yang pernah dilaluinya pada zaman-zaman awal kehidupan beliau. Beliau sangat mengkagumi tokoh tariqat ini iaitu Syeikh Abdul Wahhab al Hashafi bin Syeikh Hasanain al-Hashafi.

Sebenarnya Ikhwanul Muslimin tidak pernah menolak jemaah-jemaah tariqat sebagaimana yang didakwa oleh sebahagian orang, Cuma Ikhwanul Muslimin menolak jemaah tariqat yang ternyata sesat dan kurang bersetuju dengan ruang lingkup dakwah jemaah-jemaah tariqat lain yang tidak cukup luas. Mereka hanya memperjuangkan beberapa aspek pilihan sahaja daripada keseluruhan aspek yang ada dalam dakwah Islam itu. Ikhwanul Muslimin tetap menghormati dunia sufi dan peranannya.

Hasan al Banna menceritakan pendapatnya tentang dunia tasauf dalam “Muzakkirat Da’wah wad Da’iyah”. Tulis Dr. Yusuf Qardhawi (tokoh utama Ikhwan dewasa ini) dalam “At-Tarbiatul Islamiyyah wa Madrasatul Hassan al Banna”: “Di dalam tasauf itu terdapat kehangatan dan semangat serta pengaruh yang tidak terdapat pada golongan yang lain dan dalam ucapan mereka terkandung kekuatan yang tidak terdapat dalam ucapan orang lain.”

Tulis Hasan al-Banna dalam Detik-detik Hidupku sewaktu menyatakan pandangannya tentang tasauf:

“Tidak dapat dinafikan bahawa ilmu tasauf dan tariqat telah memainkan peranan penting dalam menyebarkan Islam di pelusuk dunia yang jauh. Penyebaran Islam tidak mungkin tercapai tanpa semangat berdakwah ahli-ahli sufi ini. Islam tersebar luas kerana usaha-usaha mereka ini.”

Tulis Imam al-Ghazali dalam kitabnya “Al Munqiz min adh’Dhalal” (Selamat daripada Kesesatan): “…aku berkeyakinan bahawa orang-orang sufi adalah golongan yang mengikut jalan yang hanya semata-mata menuju kepada Allah. Cara hidup mereka adalah sebaik-baik kehidupan dan tariqat yang diikuti adalah jalan yang paling tepat serta akhlak mereka adalah sebersih-bersih akhlak.” Pandangan al-Ghazali ini tentu sesuai dengan keperluan-keperluan dakwah di zamannya, sesuai dengan statusnya sebagai mujaddid bagi zaman itu. Dengan datangnya zaman yang baru dengan mujaddid yang baru iaitu Imam asy-Syahid sendiri, maka teknologi berdakwah turut berubah.

Seperti yang kita maklumi, ulama-ulama tasauf memang membiasakan diri mereka berzikir dalam segala keadaan. Yang dimaksudkan oleh Hasan al Banna di sini ialah zikir khafi iaitu zikir di dalam hati (tersembunyi) seperti “Allah, Allah”, “Laailahaillallah” dan sebagainya secara berterusan daripada seawal terjaga dari tidur (pada waktu pagi ketika mata belum terbuka tetapi hati telah sedar) hinggalah masuk tidur (di kala mata telah tertutup hinggalah kesedaran hilang akibat lena). Inilah “trend” ulama-ulama tasauf. Biasa kita lihat si ulama berbual atau memberikan kuliah tetapi tasbih di tangannya masih tetap berjalan. Inilah yang dimaksudkan dengan “Nabi saw sendiri berzikir mengingati Allah dalam setiap keadaan.”

Fahamilah perintah Allah:

“Maka apabila kamu telah menyelesaikan solat, ingatlah Allah pada masa berdiri, pada masa duduk dan pada masa berbaring.”

(An-Nisa’ : 103)

Allah memerintahkan kita supaya selalu dalam keadaan berzikir, tidak kira semasa kita berdiri, ketika duduk mahupun sedang berbaring.

Bukanlah yang dimaksudkan itu zikir bersuara (terang-terangan) kerana zikir jenis ini akan terputus apabila kita berbicara, makan minum, masuk tandas, terkejut, sakit mulut dan sebagainya. Zikir di hati itulah yang dimaksudkan kerana ia boleh diamalkan tidak kira walau di mana kita berada.

Sabda Nabi:

“Zikir khafi itu melebihi zikir jahri dengan 70 kali ganda. Setelah hari kiamat, Allah mengembalikan semua makhluk ke tempat perhitungannya. Dan malaikat penjaga membawa apa yang mereka jaga dan apa yang mereka catat. Allah berfirman kepada malaikat penjaga: Perhatikanlah, masih adakah sesuatu yang tersisa daripada (amalan) hamba-Ku? Mereka menjawab: Tidak ada satu pun yang kami tinggalkan darpada apa yang kami tahu dan yang kami jaga melainkan kami batasi dan kami tulis dengan sebenarnya. Maka Allah pun berfirman (kepada hamba-Nya): Sesungguhnya kebaikanmu ada pada-Ku. Dan Aku akan membalasnya. Kebaikanmu itu ialah zikir khafi.”

(Baihaqi)

Dalam hadith lain:

“Zikir yang paling baik adalah zikir khafi dan rezeki yang paling baik ialah sesuatu yag mencukupi.”

(Ibnu Hibban & Baihaqi)

Bayangkan kita sedang berada di medan jihad dan sedang sibuk bergomol dengan musuh, ibadah apakah yang boleh kita lakukan? Tidakkah zikir khafi? Ketika kita menjeritkan, “Hei musuh-musuh Islam, kami datang memang untuk menemui syahid!” apakah ibadah yang boleh kita lakukan? Zikir di mulut pasti terhenti kerana kita perlu bersuara tetapi zikir di hati masih boleh terus berjalan. Maka zikir jenis ini amat sesuai dipraktikkan terutamanya ketika dalam kecemasan. Zikir khafi ini tidak mengganggu pekerjaan kita.

Dalam sebuah hadith qudsi:

“Aku (Allah) bersamanya (hamba-Ku) apabila dia berzikir kepada-Ku. Maka jika ia mengingati aku di dalam hatinya, nescaya Aku ingat pula kepadanya dalam diri-Ku.”

(Bukhari)

Itulah diriwayatkan bahawa ketika Tok Kenali (seorang tokoh sufi dan waliyullah Kelantan) hampir meninggal dunia, mulutnya sudah tidak bergerak tetapi anaknya masih dapat mendengar suara “Allah, Allah” dari dalam dada bapanya.

Siapakah Tok Kenali? Beliau ialah anak murid kepada seorang ulama besar iaitu Syeikh Ahmad al-Fathoni. Dalam majalah Seni Beladiri (artikel bertajuk “Ustaz Ahmad Che Din: Pertubuhan Gerak Seni Silat Abjad (Asli) Jabat Kilat” oleh Mohd Nadrin Wahab) diceritakan suatu ketika Syeikh Muhammad Abduh (Mesir) memerlukan seorang pemudahcara dalam dialognya dengan Syeikh Nasiruddin (Beirut), para ulama Mekah memanggil Syeikh Ahmad Fathoni. Ketika itu beliau adalah salah seorang ulama rujukan kerajaan Islam Uthmaniyyah. Syeikh Ahmad mencalonkan Tok Kenali.

Mulanya Syeikh Muhammad Abduh ragu akan kebolehan Tok Kenali. Setelah Tok Kenali mentafsirkan surah al-Fatihah selama 7 hari berturut-turut barulah Syeikh Muhammad Abduh akur dengan kelayakannya. Tok Kenali pun menyelesaikan dialog tersebut.

Diriwayatkan bahawa Saidina Abu Bakar pernah memberitahu Nabi Muhammad saw yang baginda sentiasa bersama-sama dengannya walaupun ketika di dalam tandas. Kalau benarlah riwayat ini, maka memang jelaslah Abu Bakar orang terbaik umat ini kerana dia mampu mengingati Allah dan Rasul-Nya sekaligus secara berterusan di dalam hati.

Namun kita janganlah hendaknya menyempitkan makna zikir itu terbatas kepada sebutan-sebutan “Subahanallah”, “Allah”, “Laailahaillallah” dan seumpamanya sahaja. Kalau ketika itu kita sedang berfikir tentang kebesaran Allah, bermonolog dalaman menyatakan kasih sayang kita kepada-Nya, membaca al-Quran (terutamanya dengan pemahaman) dan seumpamanya masih di kira sedang berzikir, sedang ingat kepada Allah SWT. Zikir-zikir yang diutamakan oleh Hasan al-Banna ialah zikir-zikir yang ma’tsur, yang jelas datang daripada Nabi Muhammad saw untuk mengelakkan sebarang keraguan. Dalam buku “At-Tarbiatul Islamiyyah wa Madrasatul Hassan al Banna” karya Dr. Yusuf Qardhawi tertulis di sana “Sebaik-baik zikir ialah membaca al-Quran”.

Kata Imam Nawawi dalam Al-Adzkar: “Ketahuilah bahawa keutamaan zikir tidaklah terbatas kepada tasbih, tahlil, tahmid dan takbir serta yang seumpama dengannya, akan tetapi setiap orang yang beramal kerana Allah Taala dengan ketaatan, maka ia pun berzikir kepada Allah swt (juga).” Demikianlah yang dikatakan oleh Said bin Jubair ra dan ulama lainnya.

Hadith Rasulullah saw:

“Apabila seorang lelaki membangunkan isterinya pada waktu malam kemudian keduanya bersembahyang dua rakaat bersama-sama, maka keduanya ditulis sebagai lelaki dan perempuan yang banyak berzikir kepada Allah .”

(Abu Daud, Nasa’i & Ibnu Majah)

Sewaktu kita tiada sebarang pekerjaan, maka eloklah kita berzikir secara bersuara sebagaimana hadith yang dipetik oleh Hasan al Banna dalam risalahnya ini:

“Seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah, syariat Islam terlalu banyak untuk saya. Sila beritahu saya suatu perkara yang saya boleh tumpukan”. Baginda bersabda: “Hendaklah lidahmu sentiasa basah kerana berzikir kepada Allah”.

(Turmizi)

Ada orang yang berzikir tetapi tidak lebih sebutan di mulut sahaja kerana hatinya memikirkan perkara lain. Berzikir di mulut dengan kehadiran hati adalah yang terbaik.

Namun dalam tarbiyyah Ikhwanul Muslimin, item zikir khafi tidaklah dimasukkan ke dalam sukatan kerana ia bukanlah perkara pokok yang Allah wajibkan untuk semua umat Islam menguasainya. Lagipun sangat banyak masa dan tenaga akan dihabiskan utuk menguasai item ini sedangkan banyak lagi kewajiban yang lebih penting sedang berada di barisan depan yang mesti dilaksanakan terlebih dahulu. Ia adalah sekadar pengkayaan (usaha secara sendiri-sendiri) sahaja kepada sesiapa yang mampu, mempunyai lebih masa dan telah menyelesaikan kerja-kerja Islam yang digariskan oleh jemaah.

Namun bagi Ikhwan, membiasakan diri berzikir tetap sangat penting sebagaimana wasiat kedua Imam asy-Syahid dalam 10 Wasiatnya:

“Bacalah al-Quran, telaahlah tafsirannya atau dengarlah orang lain membacanya, atau berzikirlah kepada Allah dan janganlah engkau menggunakan sebahagian daripada waktu untuk hal-hal yang tidak berfaedah.”

Imam asy-Syahid memetik hadith:

“Apabila satu kumpulan duduk berzikir kepada Allah Azza wa Jalla, malaikat akan mengelilingi mereka dan mereka akan dinaungi rahmat, mereka akan dilimpahi ketenangan dan Allah akan menyebut-nyebut nama mereka kepada sesiapa yang ada di sisi-Nya.”

(Muslim)

Tulisnya lagi:

“Mungkin anda sendiri kerap bertemu dengan hadith-hadith yang menyebut bagaimana baginda terserempak dengan satu kumpulan yang sedang menyebut nama Allah berzikir di dalam masjid. Baginda memuji mereka dan tidak mencegah perbuatan mereka.

Huraian

Ikhwanul Muslimin memang menganjurkan zikir beramai-ramai pada masa tertentu. Al Ma’thurat yang disusun oleh Imam asy-Syahid biasa sangat dibaca beramai-ramai dengan kelajuan yang sama. Ini menolak dakwaan sesetengah pihak mengatakan kononnya tokoh Ikhwan seperti Dr. Yusuf Qardhawi misalnya menolak majlis zikir secara beramai-ramai.

Hadith qudsi:

“Aku (Allah) bersamanya (hamba-Ku) apabila dia berzikir kepada-Ku. Maka jika ia mengingati aku di dalam hatinya, nescaya Aku ingat pula kepadanya dalam diri-Ku. Dan jika ia berzikir kepada-Ku secara berjemaah, nescaya Aku ingat kepadanya dalam kelompok jemaah yang lebih baik daripada mereka”

(Bukhari)

Sabda baginda saw:

“Tiadalah suatu kaum duduk berzikir kepada Allah pada suatu majlis melainkan malaikat mengelilingi mereka dan rahmat meliputi mereka, dan Allah mengingati mereka sebagai orang-orang yang dekat di sisinya.”

(Muslim)

Sabda baginda dalam hadith yang lain:

“Apabila kamu melewati kebun syurga, maka berkeliaranlah di situ.” Para sahabat berkata: “Apakah kebun syurga itu ya Rasulullah?” Rasulullah saw bersabda: “Majlis zikir”.

(Dipetik daripada kitab al-Adzkar oleh Imam Nawawi)

Rasulullah keluar mendatangi kelompok zikir dari para sahabatnya lalu bersabda: “Apakah yang menyebabkan kamu semua duduk?” Mereka menjawab: “Kami duduk berzikir kepada Allah swt dan memuji-Nya atas hidayah yang diberikan-Nya berupa agama Islam dan kurnianya-Nya kepada kami”. Beliau bersabda: “Demi Allah, hanya kerana itukah kamu duduk? Sesungguhnya aku tidak menyuruh kamu semua bersumpah sebagai tuduhan terhadap kamu semua, akan tetapi Jibril datang kepadaku dan menceritakan kepadaku bahawa Allah swt membanggakan kamu semuaa kepada para malaikat.”
 

sufiharaki

Mengajak anda dalam lebih teliti dan halus dalam aspek beragama dan menyampaikan masej dakwah ilAllah, kerana sesungguhnya Islam tidak akan dapat mencapai kegemilangannya kembali melainkan dengan cara ia mencapai kegemilangannya pada masa lalu iaitu dengan benar-benar menuruti sunnah baginda Rasul s.a.w

Usage Policies